Sempena Syawal yang bakal menjelma, terdetik pula ingin menulis mengenai Beduk Masjid Kampung Hulu, Melaka. Beduk ini merupakan antara projek terawal Yana semasa mula berkecimpung dalam dunia OBJEK WARISAN KETARA.
Beduk Masjid Kampung Hulu, Melaka ini terletak di tengah-tengah pusat bandaraya Melaka. Bagi mereka yang pergi melancong ke Melaka, apa kata singgah ke Masjid Kampung Hulu bagi menunaikan solat dan sekali gus dapat melihat beduk yang telah diistiharkan sebagai WARISAN KEBANGSAAN.
Beduk ini merupakan gendang besar satu muka yang kelihatan seperti tong, memiliki berat sehingga 65 KG dan menurut penduduk setempat ianya dipercayai berusia 283 tahun sejak dari zaman pemerintahan Belanda di Tanah Melayu. Istimewanya Beduk Masjid Kampung Hulu, Melaka adalah kerana ianya masih digunakan sehingga kini.
Beduk ini dipalu atau dipukul sebagai isyarat kepada penduduk setempat bagi menandakan masuknya waktu untuk solat, waktu berbuka, bersahur, hebahan kematian dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun, penggunaan beduk bagi surau atau masjid di kawasan bandar semakin tidak dipraktikkan lagi pada zaman moden kini, kerana lebih cenderung menggunakan peralatan yang lebih moden seperti pembesar suara.
Ulasan
Catat Ulasan